Pelanggan lazimnya lebih mengutamakan keenakan makanan, kebersihan premis serta kualiti perkhidmatan yang diberikan di sesebuah restoran. -Gambar hiasan AI
SEBUAH rangkaian restoran popular mencetuskan kontroversi apabila mewajibkan pekerja wanita, termasuk tukang cuci dan tukang masak memakai alat solek ketika bertugas.Rangkaian restoran bufet steamboat ala Jepun, Niu New Sukiyaki yang diasaskan di Shanghai, China itu pernah tular beberapa bulan lalu selepas memperkenalkan ruang makan khas untuk pelanggan yang datang bersendirian dan lebih gemar suasana privasi. Restoran berkenaan turut menjadi sebutan gara-gara pelanggan dilaporkan perlu menunggu lama sebelum dapat menempah slot di premisnya. Bagaimanapun, ia kini dibayangi kontroversi susulan peraturan yang dikenakan terhadap penampilan pekerja wanitanya.Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas seorang pelanggan tampil mempertahankan pekerja restoran itu menerusi satu hantaran di internet.Pelanggan berkenaan berpendapat pekerja yang sudah keletihan melayani pelanggan tidak sepatutnya dibebankan lagi dengan kewajipan untuk bersolek.Memetik laporan media China, Vista Hydrogen Business, beberapa cawangan restoran berkenaan hanya mewajibkan pelayan wanita memakai alat solek.Namun, terdapat juga cawangan yang menetapkan peraturan sama terhadap semua pekerja wanita termasuk tukang cuci dan tukang masak.Lebih mengejutkan, pengurus cawangan restoran tersebut dilaporkan menetapkan solekan yang dipakai perlu jelas kelihatan, termasuk gincu, pembayang mata, celak mata dan bulu mata palsu.Walaupun pihak restoran menyediakan elaun solekan bulanan sebanyak 100 yuan (kira-kira RM63) kepada pekerja sepenuh masa, beberapa pekerja menyifatkan polisi berkenaan sebagai tidak munasabah.Malah, seorang bekas pekerja mendakwa peraturan itu menyebabkan kakitangan terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk membuat persiapan sebelum memulakan tugas.Kontroversi itu turut mengundang reaksi pelanggan yang berpendapat kualiti makanan dan perkhidmatan sepatutnya menjadi keutamaan berbanding penampilan pekerja."Tiada siapa yang akan merenung wajah pelayan ketika sedang makan steamboat.“Apa saya pentingkan hanyalah sama ada daging yang dihidangkan segar atau tidak," komen seorang pengguna media sosial. Setakat ini restoran tersebut belum membuat sebarang kenyataan berhubung kontroversi tersebut. -Agensi